Novak Djokovic tidak dapat menenangkan dirinya menjelang perlawanan impian menentang Rafael Nadal di Roland Garros.

Pemain nombor satu dunia itu menewaskan Matteo Berrettini 6-3, 6-2, 6-7, 7-5 untuk mengesahkan pertemuan separuh akhir dengan juara 13 kali Kejohanan Tenis Terbuka Perancis, Nadal.

Djokovic mengakui pertemuannya dengan Nadal "bukan sekadar perlawanan biasa" dan berkata dia menjangkakan "satu pertarungan hebat" dapat disaksikan menjelang pertemuan ke-58 kedua-dua pemain itu.

"Ayuh hadapinya, ia adalah cabaran paling besar yang anda akan hadapi apabila bertemu Nadal di gelanggang tanah liat ini, di mana dia telah mencapai banyak kejayaan sepanjang kariernya," kata Djokovic dalam sidang media.

"Dalam fasa akhir sebuat kejohanan grand slam, tiada apa lebih besar daripada ini.

"Sudah pasti, apabila kami bertemu sesama sendiri, terdapat lebih perhatian dan jangkaan. Suasananya amat berbeza apabila masuk ke gelanggang untuk menghadapinya.

"Tetapi kerana itulah saya fikir perseteruan kami amat bersejarah untuk sukan ini. Saya amat bertuah untuk dapat bertemu dengannya sebanyak ini," katanya.