Anett Kontaveit merangkul gelaran kedua musim ini selepas mengatasi Maria Sakkari dalam pertembungan set straight Terbuka Ostrava.

Pemain dari Estonia yang menduduki tempat ke-30 di dunia itu menewaskan lawannya selaku pilihan keempat tersebut 6-2, 7-5 untuk menjulang trofi di Republik Czech, awal pagi tadi.

Kontaveit menawan dua kejohanan dalam tempoh empat minggu apabila memenangi kejohanan di Cleveland bulan lalu bagi menamatkan kemarau empat tahun sejak dia memenangi gelaran pertamanya pada 2017.

Bagaimanapun, ia final pertama buat Sakkari dalam tempoh lebih dari dua tahun, namun ia tidak menghalang Kontaveit untuk melepasi tentangan pemain Greece itu dalam tempoh 1 setengah jam sambil tidak melepaskan sebarang set sepanjang minggu kejohanan.

Tahap permainan sempurna itu menjadi bekalannya untuk menyingkirkan Petra Kvitova, Paula Badosa dan Belinda Bencic dalam perjalanan ke final.




Pemain berusia 25 tahun itu kemudian menghadapi break point buat pertama kalinya sebelum mengesahkan kemenangan selesa ke atas lawannya yang mara ke separuh akhir di Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika Syarikat tahun ini.

Sakkari mempamerkan aksi lebih bertenaga dalam set kedua untuk meraih satu break point itu, namun Kontaveit masih mampu melepasi segala rintangan selain kental mempertahankan kelebihannya.

Sakkari, yang akan masuk ke tangga 10 terbaik walaupun kalah, membawa rekod positif 5-3 dalam pertemuan di antara mereka menjelang perlawanan akhir itu, tetapi 23 kesilapan sendiri memberi ruang buat Kontaveit meraikan gelaran paling gemilangnya itu.