Juara bertahan Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS), Naomi Osaka, membuka saingan kali ini dengan aksi bertenaga untuk mudah menewaskan Marie Bouzkova 6-4, 6-1 hari ini.

Semua mata tertumpu kepada Osaka susulan kepayahannya sepanjang beberapa bulan ini, di mana dia mendedahkan mengalami masalah mental dan "kemurungan jangka panjang" sejak memenangi Terbuka AS pada 2018.

Osaka menarik diri daripada menyertai Terbuka Perancis pada Mei lalu sebaik memenangi perlawanan pusingan pertama dan diugut akan dikenakan tindakan berat -- termasuk penyingkiran daripada kejohanan grand slam itu -- kerana enggan memenuhi komitmen dengan media.

Bintang Jepun itu kemudian turut menarik diri daripada Kejohanan Wimbledon sebelum menyertai Sukan Olimpik, di mana dia tewas mengejut dalam aksi di laman sendiri itu sebelum mengalirkan air mata dalam sidang media Masters Cincinnati.

Bagaimanapun, dengan penonton kembali memenuhi Flushing Meadows buat kali pertama selepas dua tahun -- edisi 2020 dianjurkan secara tertutup berikutan pandemik koronavirus -- Osaka kelihatan selesa beraksi dibawah limpahan cahaya lampu Stadium Arthur Ashe, yang turut menyaksikan bekas juara tinju heavyweight, Mike Tyson, dan bintang Hollywood, Alec Baldwin, berada di tempat duduk penonton.

Bouzkoza dapat mengikuti rentak Osaka pada awal set pertama tetapi terpaksa akur dengan 21 winner yang diperoleh lawan itu.

Osaka meningkatkan permainannya dalam set kedua dan memenangi tujuh game berturut-turut untuk meneruskan pemburuan gelaran terbuka AS keempatnya dan kejuaraan grand slam kelimanya.