Naomi Osaka sepatutnya dijadualkan untuk bertemi Olga Danilovic awal pagi tadi tetapi juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu diberikan laluan percuma untuk ke pusingan ketiga.

Osaka, yang menewaskan Marie Bouzkoba dalam pusingan pertama bagi memulakan misinya mempertahankan gelaran di Flushing Meadows, juga sedang memburu kejuaraan grand slam kelimanya dan kejuaraan ketiga di New York.

Pemain muda Serbia, Danolovic -- yang dibimbing pemain lelaki nombor satu dunia, Novak Djokovic -- pula menewaskan wakil AS, Alycia Parks, dengan keputusan straight set semalam tetapi terpaksa menarik diri daripada berdepan Osaka kerana masalah kesihatan.

Bagaimanapun, pemain berusia 20 tahun itu menegaskan bahawa dia tidak diuji positif COVID-19.

"Hai semua... saya amat sedih kerana perlu menarik diri pagi ini. Saya tidak sihat sejak beberapa hari lalu disebabkan demam virus yang bukannya COVID-19," tulis pemain muda itu dalam Instagram.

A post shared by Olga Danilovic (@danilovicolga)


"Saya benar-benar mahu bermain menentang Naomi di Stadium Arthur Ashe hari ini tetapi ia tidak dapat berlaku kali ini.

"Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada staf perubatan Terbuka AS di sini dan buat semua orang atas sokongan anda dan saya tidak sabar untuk kembali ke kejohanan yang hebat di New York ini tahun depan."

Osaka seterusnya akan berdepan Leylah Fernandes dalam pusingan ketiga selepas pemain Kanada itu menewaskan Kaia Kanepi 7-5, 7-5.