Lorenzo Sonego memulakan saingan Kejohanan Tenis Terbuka Moselle dengan cemerlang apabila pemain pilihan kelima itu meraih kemenangan selesa ke atas Marton Fucsovics awal pagi tadi.

Pemain Itali itu merekodkan kemenangannya yang ke-25 tahun ini dengan menewaskan Fucsovics 6-3, 6-2 dalam tempoh 73 minit, di mana dia turut tidak melepaskan sebarang mata break.

"Saya amat fokus. Marton seorang pemain yang hebat dan ia perlawanan yang mencabar. Saya menggemari permainan saya dan amat-amat gembira.

"Saya amat yakin kerana tahun ini adalah tahun terbaik saya. Saya kini merupakan pemain nombor 24 dunia, di mana ia adalah ranking terbaik saya. Saya dapat mempamerkan permainan terbaik saya tahun ini," katanya.

Vasek Pospisil turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain dengan tiket peluang khas, Gregoire Barrere, 6-3, 6-4.

Hubert Hurkacz merupakan pemain pilihan utama dalam perlawanan ATP 250 di Metz itu manakala Gael Monfils dan Andy Murray pula merupakan nama besar yang akan memulakan saingan mereka.