Pemain nombor satu dunia, Ash Barty, berkata masalah yang dihadapinya sewaktu melakukan servis "bukan satu kebimbangan" selepas mara ke pusingan ketiga Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Barty meneruskan misi meraih gelaran grand slam ketiganya dan yang pertama dalam Terbuka AS apabila menewaskan pemain muda, Clara Tauson, 6-1, 7-5.

Juara Kejohanan Wimbledon itu merekodkan 33 winner dan 11 ace bagi melakar kemenangan ke atas lawan berusia 18 tahun itu di Stadium Arthur Ashe, New York.

Bagaimanapun, pemain pilihan utama itu berdepan cabaran luar biasa pada penghujung saingan, sama seperti ketika menewaskan Vera Zvonareva dalam pusingan pembukaan kelmarin.

Selepas gagal memperoleh kemenangan ketika servis di tangannya ketika di kedudukan 5-4 dalam set kedua, Barty berkata: "Ia pernah berlaku beberapa kali tetapi saya telah memenangi lebih 40 perlawanan (tahun ini) dan ia tidak selalu berlaku.

"Ia hanya berlaku dalam beberapa perlawanan, di mana saya tidak dapat memukul ke arah yang tepat ketika melakukan servis pertama.

"Apabila anda membenarkan pemain yang bagus untuk mencari servis kedua, anda akan berdepan masalah. Ia semudah itu. Ia bukan satu kebimbangan," katanya.