Kurang 24 jam sebelum saingan Terbuka Malaysia membuka tirai, pasangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei 100 peratus bersedia menuju pertemuan pertama menentang pasangan dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chan yang kini menghuni ranking ke 17 dunia.

Selain yakin dengan persediaan yang dilakukan, pasangan itu menyasarkan kemaraan sehingga ke pentas akhir walaupun sedia maklum saingan Terbuka Malaysia Super 1000 bukan satu tugas yang mudah.

"Kami telah bersedia 100 peratus bagi menghadapi Terbuka Malaysia dan kami mahu mara jauh dalam saingan kali ini. Tekanan ada tetapi kami mahu menikmati permainan untuk menghadirkan persembahan terbaik," kata Izzuddin.

Dalam perkembangan sama, hari kedua sesi latihan rasmi di Stadium Axiata Arena, menyaksikan beregu campuran yang baru digandingkan, Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing tidak menjadikan angin sebagai faktor yang bakal mengugat prestasi dalam gelanggang.

Sudah membuat persediaan dan mengkaji corak permainan pihak lawan, pasangan itu yang bakal bertemu gandingan tempat ketiga kejohanan dunia 2021 dari Jepun, Kyohei Yamashita dan Naru Shinoya optimis dapat beri saingan sengit.