Juara dua kali kejohanan utama, Victoria Azarenka, berkata ia merupakan satu sikap pilih kasih yang aneh apabila penonton diwajibkan megambil vaksinasi untuk menghadiri Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) sedangkan pemain tidak diwajibkan.

Terbuka AS 2021 menjadi kejohanan tenis pertama mengaplikasikan sistem di mana penonton yang hadir ke Flushing Meadows perlu menunjukkan bukti mereka telah mengambil vaksin COVID-19. Peraturan itu ditetapkan kurang 72 jam menjelang perlawanan pertama dimulakan.

Azarenka, yang menewaskan pemain Itali, Jasmin Paolini, 6-3, 7-6 dalam pusingan kedua hari ini, berkata terdapat ketidakadilan buat penonton berbanding pemain, yang tidak perlu divaksinasi untuk beraksi.

"Saya mahu memulakan perbualan tentang pemain kerana bagi saya, ia agak pelik apabila penonton yang hadir perlu divaksinasi sedangkan pemain tidak," kata finalis tiga kali Terbuka AS itu kepada wartawan.

"Saya fikir ia tidak boleh dielakkan apabila tiba masanya, seperti yang dilakukan dalam liga-liga lain.

"Saya tidak nampak sebarang sebab untuk menghalangnya kerana saya fikir kita semua mahukan keselamatan, kita semua mahu meneruskan kerjaya kita dan saya sedar terdapat banyak perbincangan mengenainya."

Dia menambah: "Saya berharap sebagai satu persatuan, kita akan memberikan keputusan terbaik buat urusan kita ini, demi kesihatan kita, demi kejohanan dan demi orang ramai."