Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, tidak pasti sama ada dia dapat mempertahankan gelaran juara Kejohanan Tenis Terbuka Australia tahun depan atau tidak berdasarkan keperluan untuk divaksin untuk memasuki negara itu.

Victoria, tempat di mana grand slam pertama tahun depan itu akan dianjurkan, telah menentapkan keperluan untuk atlet profesional divaksin bagi membendung pandemik koronavirus.

Saingan Terbuka Australia 2021 terpaksa ditunda sebulan kepada Februari lalu dan dilangsungkan secara tertutup tanpa kehadiran penonton berikutan perintah berkurung di Melbourne bagi membendung wabak berkenaan.

Djokovic merupakan antara pemain yang lantang mengkritik keperluan atlet untuk dikuarantin menjelang kejohanan edisi 2021 itu sebelum memenangi gelaran berkenaan.

"Keadaannya masih seperti itu, saya tidak tahu sama ada saya akan ke Melbourne atau tidak," kata pemenang 20 kali gelaran grand slam itu kepada Blic.

"Saya tidak mahu mendedahkan status saya sama ada saya telah divaksin atau tidak, ia urusan peribadi dan persoalan yang tidak sesuai.

"Ramai orang sudah melampau ketika ini dalam mengajukan soalan dan menilai seseorang.

"Sama ada anda menjawab 'ya, tidak, mungkin, saya sedang memikirkannya', mereka akan mengambil kesempatan.

"Sudah pasti saya mahu ke sana. Australia merupakan pentas grand slam paling berjaya buat saya.

"Saya mahu bertanding. Saya cintakan sukan ini, saya masih bermotivasi.

"Saya mengikuti perkembangan mengenai Terbuka Australia dan saya faham bahawa keputusan akhir (mengenai larangan yang akan ditetapkan) akan dibuat dalam masa dua minggu.

"Saya yakin akan ada banyak larangan, sama seperti tahun ini. Saya tidak rasa akan ada banyak perubahan.

"Pengurus saya, yang menghubungi Persatuan Tenis Australia, memberitahu saya bahawa mereka sedang menambah baik keadaan buat semua orang, buat mereka yang sudah divaksin dan buat mereka yang belum divaksin," katanya.