BORUSSIA DORTMUND 0 BARCELONA 0

Antoine Griezmann menjelaskan bahawa dia memerlukan masa bagi membentuk keserasian di samping Lionel Messi dan Luis Suarez selepas Barcelona hanya mampu meraih satu mata ketika menentang Borussia Dortmund dalam kempen pembukaan Liga Juara-Juara (UCL).


Barcelona seri tanpa jaringan dengan jaguh Bundesliga itu dalam pertembungan Kumpulan F di Westfalenstadion, awal pagi tadi, yang menyaksikan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti daripada Marco Reus dalam babak kedua.

Bintang utama, Messi, membuat penampilan pertamanya musim ini selepas pulih daripada kecederaan betis -- muncul sebagai pemain gantian dalam babak kedua -- tetapi ia satu malam yang mengecewakan buat juara LaLiga itu yang turut melibatkan Suarez dan muka baru, Griezmann.

"Ini baru bulan kedua sejak saya tiba di sini. Saya perlu membiasakan diri dan bermain dalam lebih banyak perlawanan supaya dapat memahami pergerakan Suarez dan Leo," katanya, yang ditandatangani dengan nilai €120 juta (RM554.9j) daripada Atletico Madrid, kepada Movistar +.

"Kami belum berkesempatan meluangkan lebih banyak masa, kami perlu perbaiki gandingan ini dan mengusahakannya. Kami hanya meraih satu mata sambil Marc menyelamatkan sepakan penalti dan beberapa percubaan yang lain lagi."

Pengurus Barca, Ernesto Valverde, mengakui mereka harus berterima kasih kepada Ter Stegen setelah dia membuat beberapa aksi menyelamat yang baik -- termasuk ketika menafikan rakan senegaranya, Reus, pada minit ke-57.

"Ini adalah satu perlawanan yang sukar dalam suasana yang hebat," katanya.

"Kami terpaksa menanggung banyak masalah, khususnya selepas rehat, apabila kami kehilangan penguasaan sementara mereka sangat berbahaya.

"Dalam babak pertama, kami lebih mendominasi, cuma kami tidak dapat memecahkan benteng lawan. Kami perlu berterima kasih kepada Marc-Andre ter Stegen atas ketangkasannya.

"Kami sedar bahawa kami perlu memperbaiki prestasi di tempat lawan. Kami cuba mengetengahkan Messi untuk beberapa ketika sementara Luis Suarez diturunkan dari awal permainan."

Ter Stegen menambah: "Orang ramai tahu mengenai kemampuan saya. Saya hanya mahu memberi tumpuan penuh kepada tugasan dan melakukannya dengan 100 peratus keupayaan saya."

Ketua pasukan Dortmund, Reus, kecewa kerana terlepas peluang keemasan untuk menumbangkan gergasi Sepanyol itu.

"Marc adalah penjaga gol berkelas dunia. Sepakan penalti saya tidak begitu baik, saya perlu mengasahnya lagi dalam latihan.

"Sudah tentu ia bukan perasaan yang bagus. Saya gagal menyempurnakan sepakan penalti dan kami mempunyai beberapa peluang lain lagi.

"Satu gol mungkin sudah memadai untuk kami menang. Kami tidak memberikan ruang kepada Barcelona selain mempamerkan prestasi yang mantap," katanya.

Rakan sepasukan di bahagian pertahanan, Mats Hummels, pula berpendapat mereka gagal mengambil kesempatan, namun menegaskan terdapat banyak perkara positif berdasarkan prestasi yang ditonjolkan mereka.

"Hakikatnya, kami kehilangan dua mata dan gagal menempatkan diri di kedudukan yang lebih baik tetapi kami amat berbangga dengan prestasi dalam babak kedua," kata pemain berusia 30 tahun itu.