Naomi Osaka tidak perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri di tanah liat sebelum pemain pilihan itu meraih kemenangan dalam Kejohanan Tenis Terbuka Madrid, sebentar tadi.

Osaka tidak tampil di gelanggang tanah liat sejak tersingkir dalam pusingan ketiga Terbuka Perancis 2019 dan terlepas kempen permukaan itu tahun lalu gara-gara kecederaan.

Juara Terbuka Australia 2021 itu nyata kekok apabila ketinggalan 0-3 kepada Misaki Doi sebelum bangkit untuk menang dengan set straight.

Pilihan kedua kejohanan itu mengatasi rakan senegaranya tersebut 7-5, 6-2 -- menang ketiga-tiga pertemuan mereka dalam Jelajah WTA.

"Jelas sekali saya mahu beraksi baik apabila menentang pemain senegara," kata Osaka.

"Saya tidak pernah dapat menjangkakan apa-apa memandangkan dia selalu beraksi lebih baik ketika saya berdepannya, jadi agak sukar untuk menguruskan emosi saya ini. Tetapi saya rasa mampu dapat melakukannya dengan cukup baik."




Simona Halep turut mencatat kemenangan dalam pusingan pembukaannya.

Pilihan ketiga merangkap juara dua kali itu mudah menawan set pertama sebelum memadam sisa perjuangan Sara Sorribes Tormo untuk keputusan muktamad 6-0, 7-5 dalam masa 83 minit.

Jennifer Brady pula menang 6-2, 6-4 ketika menyingkirkan rakan senegara dari Amerika Syarikat (AS), Venus Williams.