Tengku Hazman gusar prestasi TFC II

Tengku Danish Bahri
April 28, 2019 13:47 MYT
Ketumpulan penyudah serta 'penyakit' hilang punca merisaukan pengendali Terengganu FC (TFC) II, Tengku Hazman Raja Hassan, bagi menghadapi baki Liga Perdana musim ini.
Menurutnya, barisan pemainnya tidak beraksi seperti yang dirancangkannya walaupun sedang mendahului pasukan lawan dan keadaan itu perlu diatasi segera.
Malah, prestasi Akanni Sunday Wasiu juga mengecewakan bekas kapten negara itu walaupun tidak berhasrat membuat rombakan dalam jendela perpindahan akan datang.
"Apabila kami menjaringkan gol, pemain-pemain menjadi hilang punca dan kaku. Ia seperti penyakit sama yang berulang-ulang.
"TFC II akan berdepan masalah sekiranya situasi ini berlarutan kerana semua pasukan pasti beraksi lebih baik dalam pusingan kedua nanti," katanya.
Kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan, malam tadi, gagal menyembunyikan kelonggaran permainan TFC II, terutama di bahagian serangan.
Hanya gembira dengan disiplin bertahan, Tengku Hazman mengakui lebih gusar dengan aspek penyudah diketuai Akanni yang hanya menjaringkan dua gol setakat ini.
"Bukan malam ini (semalam) sahaja, sudah beberapa perlawanan Akanni mensia-siakan peluang terbuka," jelas Tengku Hazman.