VALENCIA 0 AJAX 3

Erik ten Hag teruja dengan aksi kemas Ajax ketika menewaskan Valencia, namun pengurus itu mendakwa masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki pasukannnya meskipun mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Liga Juara-Juara Eropah.


Ajax menewaskan Valencia 3-0 di Stadium Mestalla awal pagi tadi untuk pasukan yang ke separuh akhir musim lalu itu memenangi kedua-dua perlawanan pertama Kumpulan H.

Keputusan dalam perlawanan itu mungkin berbeza seandainya Dani Parejo tidak mensia-siakan sepakan penalti Valencia untuk mengikat kedudukan, namun Quincy Promes menjaringkan gol kedua Ajax selepas jaringan pembukaan gemilang Hakim Ziyech dalam babak pertama.

Kelemahan pertahanan Ajax membenarkan Valencia untuk kembali bersaing pada awal babak kedua, namun pasukan tuan rumah itu buntu untuk menewaskan penjaga gol, Andre Onana.

Ten Hag mengakui Ajax, yang sedang menyesuaikan diri tanpa Matthijs de Ligt, perlu meningkatkan bahagian pertahanan sambil memuji aksi bertenaga jentera serangannya.

"Ada beberapa perkara yang boleh menjadi lebih baik seperti aspek bertahan. Kami berdepan masalah di bahagian itu, namun Valencia juga berdepan masalah sama," katanya kepada wartawan.

"Kami beraksi dengan amat hebat dan layak untuk menang.

"Saya percaya masih ada kekurangan yang perlu kami perbaiki tetapi kami dapat menghasilkan permainan yang amat hebat.

"Ketika berada di tepi padang, saya dapat menikmati permainan kami.

"Tidak banyak pasukan dapat melakukannya di (Stadium) Mestalla," katanya.

Ajax memaparkan aksi licik mereka ketika membina jaringan Donny van de Beek dalam babak kedua -- Dusan Tadic melakukan hantaran ke belakang buat permain tengah itu menjaringkan gol terakhir perlawanan.

Namun, Ziyech mencuri tumpuan sepanjang perlawanan itu menerusi jaringan gemilangnya pada minit kelapan sambil percubaan jarak jauhnya menggegarkan palang gol lawan sebelum waktu rehat.

"Ziyech dapat melakukan larian dan kami boleh menggunakannya secara bebas. Saya mahu melihatnya pada masa akan datang supaya dia akan berusaha," kata Ten Hag, yang turut memuji penjaga golnya, Onana.

"Ramai pemain boleh memberikan perbezaan, Onana salah seorang daripada mereka.

"Kami juga mempunyai kreativiti di bahagian serangan dan boleh memaparkan permainan yang hebat.

"Kami sudah mengambil langkah yang besar tetapi masih belum sampai ke sasaran," tambahnya.