Erik ten Hag menganggap adalah normal sekiranya dia sudah mengadakan perbincangan untuk dilantik sebagai pengurus Manchester United yang seterusnya.

Pengurus Ajax itu enggan mengesahkan sama ada perbincangan itu telah berlaku sambil menegaskan dia akan menunggu hingga akhir musim ini sebelum mengumumkan hasratnya.

Bagaimanapun, pengendali berusia 52 tahun itu seolah-olah memberi bayangan bahawa masa depannya mungkin terletak di Old Trafford apabila berharap Ajax akan faham jika dia memilih untuk meninggalkan kelab Belanda tersebut setahun lebih awal daripada kontrak asalnya.

Dalam temu bual bersama Sport1 Jerman, Ten Hag disoal mengenai khabar angin bahawa dia sudah berunding untuk kekosongan jawatan di United sebaik pengurus sementara, Ralf Rangnick, meninggalkan posisi itu.

"Dalam industri ini, semua orang saling mengenali. Memang selalu wujud perbincangan dengan wakil dari kelab lain, ia satu perkara biasa," katanya.

"Manchester United adalah sebuah kelab yang hebat dengan peminat yang hebat. Tetapi saya hanya boleh mengulangi pendirian saya: Fokus saya terarah sepenuhnya kepada Ajax. Kami sudah pun merancang untuk menghadapi musim baru."


Ten Hag sekali lagi menjelaskan bahawa perhatiannya ketika ini berpusat kepada cabaran sengit daripada PSV dalam misi menjulang gelaran liga dan Piala Belanda.

“Tetapi dalam bola sepak anda tidak pernah tahu,” katanya.

"Saya tidak mahu menolak sebarang kemungkinan.

"Jika pada satu ketika saya perlu membuat keputusan demi mengambil langkah seterusnya, saya berharap orang di sini akan faham."