Pengurus Ajax, Erik ten Hag, terus memberi tumpuan untuk memenangi gelaran Eredivisie sambil menegaskan dia tidak mendengar sebarang berita mengenai jawatan di Manchester United.

Ten Hag muncul sebagai salah seorang calon utama untuk mengisi kekosongan di United selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat semalam berikutan kekalahan memalukan 1-4 di tangan Watford dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ten Hag memiliki reputasi memberangsangkan sepanjang di Amsterdam, di mana dia telah menghadiahkan dua gelaran Eredivisie selain kemaraan ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) edisi 2018-19.

Pasukan bimbingannya mempamerkan aksi menghiburkan musim ini malah turut layak ke pusingan 16 UCL selain mengungguli Eredivisie dengan mengatasi pencabar terdekat, PSV. dengan perbezaan gol.

Pengurus Belanda berusia 51 tahun itu sempat ditanya mengenai tawaran dari Old Trafford sebaik membenam RKC Waalwijk 5-0, awal pagi tadi.




"Saya fokus kepada pasukan saya, kami mempunyai skuad yang cemerlang dan kami mahu mencapai banyak perkara," katanya kepada ESPN.

"Kami mempunyai skuad yang cemerlang, kami mahu berjuang merebut kejuaraan. Fokus saya adalah kepada Ajax, selebihnya hanya mengganggu tumpuan kami sahaja.

“Saya mengharapkan anak buah agar terus memberi tumpuan kepada Ajax, jadi saya juga perlulah memberi contoh yang tepat.

"Anda terus mengasak soalan ini kepada saya (tentang kedudukannya sebagai pengurus Ajax), ia adalah satu soalan yang pelik. Saya tidak mendapat sebarang berita mengenainya (minat United), jadi saya tidak boleh memikirkannya."

Ajax telah menjaringkan 42 gol dalam 13 perlawanan musim ini selain hanya dibolosi dua kali.




Sementara itu, penggempur legenda The Red Devils, Wayne Rooney, tidak terlintas untuk mengambil alih bekas kelabnya itu buat sementara waktu, dia sebaliknya membidas sikap tidak acuh barisan United.

"Saya lihat ada pemain yang melambai-lambaikan tangan mereka, kehilangan bola, menyalahkan orang lain.

"Ia tidak boleh diterima. Saya akan menjadi sangat marah jika yang berbuat demikian ialah pemain saya," katanya pula.