Tekanan psikologi buat United terus goyah

Asmawi Bakiri
Februari 15, 2022 05:58 MYT
"Sejak ketibaan saya, kami menjaringkan gol pendahuluan sebanyak 11 kali dalam 13 perlawanan tapi hanya separuh daripada perlawanan itu kami menangi," ujar pengurus Manchester United, Ralf Rangnick.
Dalam tempoh 10 hari yang lalu, United mengulangi satu skrip yang sama buat tiga perlawanan berturut-turut -- menjaringkan gol pertama, kemudian bolos dan akhirnya gagal mencapai kemenangan.
Keputusan seri berulang kali ini mengakibatkan mereka tercicir sebanyak empat mata dalam Liga Perdana Inggeris dan juga menyebabkan mereka tersingkir daripada Piala FA.
Menurut laporan akhbar The Guardian, Rangnick kini terpaksa meminta bantuan ahli psikologi sukan, Sascha Lense, yang pernah bekerjasama dengannya sewaktu bersama RB Leipzig dahulu untuk membina semula keyakinan pasukan dan mengakhiri tabiat mereka dalam membazirkan kelebihan yang diperoleh.
"Apa yang berlaku dalam tiga perlawanan lepas pastinya memberikan kesan negatif kepada pemain.
"Kami bermain dengan baik dan sepatutnya mampu untuk mendahului sebanyak tiga atau empat gol, tetapi tiba-tiba skor menjadi 1-1 dan keyakinan kami mula goyah.
"Inilah lumrah manusia. Pemain kami bukannya robot." ujar Rangnick lebih lanjut.
Berbicara tentang aspek psikologi, Rangnick berkata: "Saya sudah berbincang dengan Sascha dan kami mencapai beberapa kesimpulan.
"Pertama sekali, kami harus lebih efisien dalam menjaringkan gol kedua atau ketiga demi memastikan keputusan kami selamat.
"Jika kami gagal berbuat demikian, kami harus mengekalkan strategi, kekal utuh dan kekal berdisiplin daripada segi taktikal.
"Bila saya kaji semula kesemua gol yang kami bolos pada separuh masa kedua, saya sedar gol-gol tersebut adalah gol mudah dan tidak sepatutnya berlaku."
Kelemahan pemain United dikritik pedas oleh bekas pemain pertahanan mereka, Rio Ferdinand.
"Dalam 20 ke 30 minit pertama, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan.
"Mereka bekerjasama, mereka utuh, tetapi masalah berlaku apabila pasukan lawan mula menemui rentak mereka.
"Suka ataupun tidak, dalam setiap perlawanan, pasukan lawan pasti akan memperoleh sejenak masa untuk menguasai perlawanan dan kamu akan dipaksa untuk berundur.
"Saya perhatikan yang skuad United sekarang ini tidak mempunyai keberanian untuk mengharungi tempoh sebegitu.
"Mereka tidak tahu bagaimana hendak menghadapi situasi di mana pasukan lawan mula merampas semula penguasaan permainan.
"Sebahagian besar daripada cara untuk menangani masalah ini bergantung kepada disiplin dan di sinilah United banyak kekurangannya berbanding pasukan-pasukan besar yang lain.
"Kesilapan individu adalah faktor paling besar dalam meranapkan kejayaan pasukan ketika ini.
"Sama ada daripada segi terlepas peluang menjaringkan gol, gagal menghantar bola dengan baik atau gagal bertahan dengan kukuh, pelbagai pemain melakukan kesilapan individu dalam aspek-aspek ini." ujar Ferdinand dalam siaran 'podcast' Five with Vibe.
Dalam satu statistik yang dipaparkan dalam akhbar The Daily Mail, 13 perlawanan United di bawah kendalian Ralf Rangnick dibandingkan dengan 13 perlawanan di bawah kendalian pengurus terdahulu, Ole Gunnar Solskjaer.
Jika diperhatikan, United bolos 60 peratus lebih banyak di bawah kendalian Solskjaer.
Jumlah percubaan yang berjaya dilakukan oleh pihak lawan turut berkurangan serta jumlah terjahan yang United lakukan turut mencatatkan sedikit peningkatan.
Kesemua ini menunjukkan satu perkembangan positif tetapi ia masih tidak boleh dikatakan sebagai satu peningkatan memberangsangkan.
United berhadapan dengan Brighton dalam perlawanan seterusnya, di mana cabaran yang mereka hadapi daripada segi taktikal dan juga psikologi bakal berterusan.
#Manchester United #Ralf Rangnick #Liga Perdana Inggeris #Rencana