Penggempur Terengganu, Tchetche Kipre, bertekad mengekalkan sentuhan berbisa dalam pertemuan menentang Negeri Sembilan esok untuk membantu skuad Peteh muncul pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia menerusi rekod 100 peratus kemenangan dalam Kumpulan A.

Kelibat Tchetche pastinya ditagih dalam aksi menentang Negeri Sembilan selepas penyerang kelahiran Ivory Coast itu cemerlang meledak hatrik ketika perlawanan minggu lalu.

Namun, dia enggan meletakkan jaringan peribadi sebagai keutamaan, sebaliknya mahu pasukan mencapai kemenangan bagi memastikan kemaraan ke suku akhir.

"Saya tidak mahu pentingkan diri sendiri. Saya hanya mahu dapatkan ruang, bantu pasukan. Saya hanya mahu mendapatkan keputusan baik buat pasukan," katanya.

Sesi latihan Terengganu hari ini tidak disertai oleh pengendali, Nafuzi Zain, yang menjalani kursus diploma kejurulatihan di Kuala Lumpur manakala tonggak tengah, Lee Tuck, masih berdepan komitmen peribadi tetapi tetap akan turun beraksi malam esok.