Lega Calcio mengumumkan perubahan terhadap jendela perpindahan kancah Itali apabila mempercepatkan tarikh tutup perpindahan pemain, iaitu pada 18 Ogos, bermula dengan kempen 2018-19.

Secara tradisinya, tempoh perpindahan Serie A berjalan serentak dengan kebanyakkan negara Eropah yang lain -- tamat pada akhir bulan Ogos -- ketika kempen sudah berlangsung.

Namun, Serie A memutuskan untuk menuruti jejak Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus memaksa kelab agar melengkapkan semua aktiviti perpindahan mereka sebelum musim bermula.

Pesuruhjaya khas Lega Calcio, Giovanni Malago, mendedahkan kempen Serie A 2018-19 akan bermula pada 19 Ogos sementara jendela perpindahan akan ditutup tepat 24 jam lebih awal.

Beliau juga mengumumkan perpindahan pertengahan musim turut dijangka diubah, iaitu ditetapkan berakhir pada 19 Januari, bukannya pada akhir bulan itu.

"Musim 2018-19 Serie A akan bermula pada 19 Ogos dan Piala Super akan berlangsung pada 12 Ogos," kata Malago.

"Daripada segi pasaran perpindahan, kami telah membuat perubahan penting. Jendela musim panas akan ditutup pada 18 Ogos, 24 jam sebelum permulaan musim Serie A.

"Begitu juga untuk perpindahan Januari -- ia dijangka akan ditutup pada 19 Januari."