Pertukaran maskot pasukan Sabah daripada Badak kepada Tambadau, iaitu panggilan bagi seladang di kalangan penduduk tempatan negeri itu, adalah sebahagian daripada penjenamaan semula pasukan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata pemilihan Tambadau itu juga bagi memberi satu nafas dan semangat baru kepada pasukan Sabah yang selama ini agak suram dalam arena bola sepak negara.

"Selepas pentadbiran SAFA ini berubah, kita perlukan sesuatu yang baru dan saya yakin dengan penjenamaan semula pasukan Sabah ini, kita akan lebih bersemangat selepas sekian lama bola sepak di Sabah ini merudum.

"Selain daripada itu, kita juga akan menggunakan jersi warna putih sebagai jersi di gelanggang sendiri. Selama ini, kita menggunakan merah, namun tahap kita tidak ke mana pun, apa salahnya kita membuat sesuatu yang baru.

"Kita hampir-hampir tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2019 selain berdepan penggantungan selama tiga tahun. Namun, selepas pentadbiran SAFA ini bertukar, kita dapat menyelesaikan banyak perkara dan ini adalah hasil kerja keras pengurusan baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, petang tadi.

Dalam majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Sabah baru-baru ini, Peter mengumumkan Tambadau sebagai maskot baharu pasukan manakala jersi utama yang sebelum ini secara tradisinya berwarna merah ditukar kepada warna putih.

Perubahan itu mengundang perdebatan hangat di kalangan penyokong pasukan itu dalam media sosial.