Dengan menurunkan De Paula sebagai penyerang utama pada pusingan kedua peringkat suku akhir Piala Malaysia ia telah memberi sedikit kelebihan pada Johor Darul Ta’zim. Di mana ia menampakkan perubahan strtategi dan taktikal yang dimainkan JDT setelah penyerang utama mereka, Bergson de Silva tidak dapat diturunkan. Ia menunjukkan pasukan kejurulatihan JDT telah membuat analisis dengan baik bagi tujuan memerangkap pertahanan Kedah yang telah menunjukkan aksi yang baik pada pusingan pertama tempoh hari.

Melihat dari corak permainan JDT kali ini ia ada sedikit berbeza berbanding pada pusingan pertama walaupun JDT masih menggekalkan falsafah dan DNA bola sepak JDT melalui pergerakkan hantaran pendek serta hantaran lintang namun kali ini pasukan kendalian Benjamin Mora itu banyak melakukan hantaran tepat di kaki De Paula untuk melakukan hantaran satu dua sebagai “target man”. Selain itu De Paula berjaya menarik perhatian pertahanan Kedah untuk terus mengekori rapat setiap gerakkannya supaya ia dapat memberi ruang kepada Arif Aiman, Cabrera, Leandro dan Nazmi Faiz.

Lihat sahaja bagaimana jaringan tunggal yang berjaya dilakukan Arif Aiman selepas pertahanan Kedah terlalu memberi perhatian kepada De Paula di bahagian tengah kawasan penalti sehingga mereka terlepas pandang akan kedudukan Arif yang mula masuk dari sebelah kiri ke dalam kawasan penalti setelah transisi pantas dilakukan JDT. Dari pergerakkan itu tadi ia menguatkan lagi tentang analisis permainan yang di buat oleh pasukan kejurulatihan JDT tentang kelemahan pertahanan Kedah.

Sementara itu juga pemain-pemain JDT juga bijak mengambil kesempatan atas taktikal yang di guna pakai Kedah yang hanya bertahan di dalam kawasan mereka. Dari situasi itu juga JDT dapat menguasai dan mengawal tempo permainan, inilah kelebihan yang ada pada pasukan kejurulatihan JDT yang sentiasa peka dengan situasi sesuatu perlawanan itu mengikut kekuatan dan kelemahan lawan supaya pemain-pemain Harimau Selatan itu dapat melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang.