Tak perlulah Melaka, Mat Zan Mat Aris sah ke AirAsia FC

Ammar Hakim
November 4, 2016 18:31 MYT

Airasia Allstars Football Club (Airasia FC) telah mengesahkan bekas jurulatih Melaka United, Mat Zan Mat Aris, akan mengendalikan Red Jets musim hadapan bagi menghadapi saingan Liga FAM.

Kenyataan tersebut diumumkan di laman rasmi Facebook pasukan itu dengan menyatakan kebesaran hati mereka menerima kehadiran Mat Zan.
“Kami berbesar hati dengan kehadiran jurulatih berpengalaman ini bagi memacu skuad Red Jets mencipta kejayaan musim hadapan,” kata kenyataan itu.
Airasia FC yang berazam untuk mara ke Liga Perdana 2018 mengakui sangat memerlukan magis jurulatih itu bagi merealisasikan impian mereka setelah melihat kejayaan Mat Zan membawa Melaka keluar dari kancah Liga FAM selama empat musim sehingga berjaya menjadi Juara Liga Perdana, seterusnya akan bersaing dalam Liga Super 2017.
Kontrak Mat Zan tidak disambung oleh pihak pengurusan Melaka United Football Club (MUFC) walaupun jurulatih itu mengendalikan skuad Hang Tuah dengan cemerlang.
Netizen tidak berselindung dengan rasa tidak puas hati terhadap MUFC dengan menggelar pengurusan skuad Hijau Putih itu “tidak mengenang budi”, “kacang lupakan kulit”, "habis manis sepah dibuang".
Tidak kurang juga yang mengharapkan Persatuan Bolasepak Melaka mendapat balasan setimpal kerana bersikap tidak mengenang budi, dengan ramai mengandaikan Melaka akan kembali diturunkan ke Liga Perdana selepas hanya semusim dalam Liga Super.
Andainya itu benar-benar berlaku, netizen menganggapnya sebagai "sumpahan Mat Zan".