Setiausaha kehormat baru Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar, tidak sangka dilantik memegang jawatan panas itu.

Ketika dihubungi, Tajul Hasnan mengakui terkejut dengan pengumuman Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, petang kelmarin.

"Saya tidak pernah bermimpi akan menjawat jawatan ini," katanya.

"Sebenarnya memang ada orang lain yang melobi mahukan jawatan ini.

"Apapun, saya menerima pelantikan ini dengan hati terbuka dan akan cuba melaksanakan amanah yang diberikan kepada saya dengan sebaik mungkin," tambahnya yang memiliki pengalaman sebagai setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian sejak 1980.

Tajul Hasnan berkata beliau akan memulakan tugas barunya 1 Februari untuk memberi peluang kepada setiausaha lama, Abd Aziz Yeop Jamaluddin, menyelesaikan kerja-kerja yang masih ada.

Pengurus projek Asiabina Holding itu berterima kasih kepada Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak di atas kepercayaan dan keyakinannya terhadap dirinya.

Beliau berharap ahli gabungan akan memberi kerjasama kepadanya bagi melancarkan pengurusan persatuan.