Tiada ribut atau angin tetapi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) melakukan kejutan apabila menggantikan setiausaha kehormatnya.

Dalam satu tindakan mengejutkan, Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengumumkan pelantikan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan Omar, sebagai setiausaha yang baru menggantikan Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkuatkuasa serta-merta.

Ketika mengumumkan langkah itu sebentar tadi, Ahmad Faizal, yang juga Menteri Besar Perak berkata pelantikan Tajul Hasnan bertujuan membolehkan Abd Aziz memberi tumpuan penuh kepada tugas beliau sebagai naib presiden II.

"Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA malam tadi.

"PAFA yakin pelantikan Tajul Hasnan mampu membantu melancarkan lagi pengurusan persatuan," kata Ahmad Faizal.

Beliau menegaskan Tajul Hasnan memiliki pengalaman yang cukup luas dalam pengurusan bola sepak.

"Tajul Hasnan diberi kepercayaan sebagai setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian sejak 1980 dan masih menabur bakti sehingga sekarang.

"Dia juga merupakan timbalan pengerusi Persatuan Bola Sepak Melayu Perak (PBMP) serta pernah mengetuai beberapa biro dalam PAFA seperti pertandingan, pengadilan, latihan dan tatatertib sejak mula memegang jawatan sebagai Ahli Majlis PAFA hampir 10 tahun lalu," tambahnya.

Ahmad Faizal juga mengumumkan majlis memperkenalkan pemain dan juga pelancaran jersi baru Perak akan diadakan di Stadium Indera Mulia pada 26 Januari ini mulai jam 8 malam.

Sehubungan itu, beliau menjemput penyokong hadir beramai-ramai ke majlis itu.