Oscar Tabarez dipecat daripada jawatan ketua jurulatih Uruguay, sekali gus menamatkan era 15 tahunnya bersama pasukan kebangsaan itu.

Pengendali berusia 74 tahun berkenaan kembali melatih pasukan itu pada 2006 -- selepas pernah memegang peranan sama dari 1988-1990 -- selepas La Celeste gagal layak ke Piala Dunia pada tahun itu.

Dia kemudian memacu Uruguay meraih tempat keempat dalam Piala Dunia 2010 sebelum menjuarai Copa America 2011.

Bagaimanapun, selepas tewas kesemua empat perlawanan terakhir dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 -- termasuk kekalahan 0-3 kepada Bolivia pada Selasa lalu -- Tarbarez terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Uruguay pada ketika pasukan itu berada di tangga ketujuh dengan empat kemenangan daripada 14 perlawanan (seri 4 dan tewas 6).

Dengan berbaki empat perlawanan, mereka kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga keempat, Colombia, untuk merebut slot kelayakan automatik tetapi Persatuan Bolasepak Uruguay (AUF) memilih untuk bertindak segera.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, AUF berkata: "Ini merupakan satu keputusan sukar berdasarkan keadaan semasa, dalam satu komitmen untuk masa depan dan pencapaian dan keputusan yang kita semua mahukan.

"Kami mendedikasikan rasa hormat dan pengiktirafan buat Tabarez atas profesionalisme dan dedikasinya sepanjang proses panjang ini."

Tabarez memegang rekod perlawanan terbanyak (74 perlawanan termasuk playoff) dan kemenangan terbanyak (31) sebagai jurulatih dalam sejarah pusingan kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan.

Dalam tempoh pertamanya membimbing pasukan itu, Tabarez membawa Uruguay layak ke Piala Dunia 1990 sebelum tersingkir di tangan tuan rumah, Itali, dalam pusingan 16.

Selepas dilantik semula pada 2006, bekas pengendali Boca Juniors dan AC Milan itu membawa skuad kebangsaannya layak ke tiga lagi edisi Piala Dunia (2010, 2014 dan 2018).