Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan pasukan T-Team untuk mengenakan tindakan ke atas Mohd Nor Hakim Hassan berhubung masalah disiplin pemain itu.

Sambil mengakui belum menerima sebarang maklumat terperinci dan rasmi, Rozi berkata tindakan sewajarnya perlu diambil bagi menyelesaikan kemelut dalaman pasukan itu.

Ujarnya, situasi yang berlaku ini jelas merugikan T-Team yang telah tersingkir daripada Piala Malaysia serta bergelut dalam saingan Liga Super yang berbaki tiga perlawanan.

“Soal disiplin pemain, memang tidak boleh berkompromi lagi. Namun, kes ini juga perlu dilihat dari sudut pemain itu, mungkin dia (Nor Hakim) mengalami masalah peribadi atau keluarga.

“Satu laporan lengkap harus dibawa kepada jawatankuasa tertinggi kelab untuk menilai seterusnya menentukan sebarang bentuk hukuman atau keputusan,” kata Rozi lagi.

Nor Hakim, 26, dilaporkan menghilangkan diri daripada skuad kendalian Rahmad Darmawan itu sejak perlawanan liga menentang Melaka United, 5 Ogos lalu, tanpa dapat dikesan.

Malah, pemain sayap itu turut terlepas sesi latihan bersama rakan sepasukannya sejak tiga minggu lalu sehingga pihak pengurusan mempertimbangkan untuk menamatkan kontraknya.