Pasukan Liga Super, T-Team, mencatat kemenangan 3-1 atas UiTM FC dalam aksi persahabatan di Kuala Terengganu, malam tadi.

Pemain sayap baharu, Syed Sobri Syed Muhammad, memberikan impak dengan menjaringkan gol pertama pada minit ke-12 selepas menyudahkan hantaran Mohd Nor Hakim Hassan.

Lima minit kemudian, giliran seorang lagi ahli baru, Ooi Shee Keong, menguji kubu pelawat, menyaksikan sepakan percumanya dinafikan penjaga gol UiTM FC.

T-Team menggandakan jaringan pada minit ke-28 menerusi Mohd Nor Hakim yang menerima hantaran pendek Shee Keong.

Kemasukan trio import, Akanni Sunday Wasiu, Marcel N’Guessan dan Onorionde Kughegbe berjaya memperkemaskan rentak UiTM FC pada babak kedua.

Mohd Izman Solehin Rashid hampir merapatkan kedudukan dengan dua percubaan pada minit ke-45 dan 49, namun tinggi melepasi pintu gol T-Team.

Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-56 selepas Akanni merampas bola daripada Mohd Hasbullah Awang, malangnya rembatan penyerang sensasi itu ditepis Mohamad Asyraf Azmi.

Penyerang gantian tuan rumah, Ramzi Sufian, menjadikan kedudukan 3-0 selepas menyempurnakan gerakan satu dua bersama Ramzul Zahini Adenan pada minit ke-64.

Gol sagu hati pelawat hanya menyusul pada minit terakhir perlawanan hasil jaringan Anwarul Hafiz Ahmad yang mengatasi pertahanan T-Team sebelum melepaskan sepakan leret di dalam kotak penalti.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, nyata gembira, terutama dengan peranan pemain baru mereka yang diharapkan dapat menyesuaikan diri dengan cepat di dalam pasukan.

“Shee Keong dan Syed Sobri menunjukkan permainan yang bagus, malah Mohd Asrol (Ibrahim) juga tidak asing lagi, jadi saya berpuas hati mereka dapat mengikut rentak kami.

“Untuk membuat penggiliran, kualiti semua pemain perlu seimbang dan kehadiran mereka memberikan apa yang diingini kerana mereka pemain yang berkualiti,” ujarnya.

Bagi ketua jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, dia tetap optimis dengan peluang memperbaiki kelemahan pasukan itu sebelum Liga Perdana bersambung hujung bulan ini.

“Saya tidak perlu kecewa dengan kekalahan ini kerana aksi persahabatan lebih kepada mencari rentak sebagai satu unit dan memperkukuhkan pasukan.

“Selepas kemasukan pemain-pemain utama dalam babak kedua, kami memberikan tentangan dan saya yakin masih ada masa mendapatkan ramuan terbaik untuk liga dan Piala Malaysia,” katanya.