Pasukan berstatus kelab, T-Team, melengkapkan kemasukan tiga pemain tempatan pada jendela perpindahan kali ini.

Antaranya pemain tengah, Mohd Asrol Ibrahim, yang kembali hanya selepas enam bulan membuat keputusan meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Terengganu.

Tonggak utama T-Team pada musim lalu, Asrol, 30, bagaimanapun gagal menambat hati Irfan Bakti Abu Salim, sebaliknya hanya memanaskan bangku pemain simpanan.

Katanya, situasi itu mendorong kepulangannya ke Liga Super sambil bertekad kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Rahmad Darmawan.

“Saya bersedia bekerja keras bersama rakan-rakan lain untuk mengembalikan kepercayaan ketua jurulatih,” ujarnya.

Turut memperkuatkan T-Team ialah ketua pasukan MISC-MIFA, Ooi Shee Keong, 26, dan pemain sayap Melaka United, Syed Sobri Syed Muhammad, 23.

Ketiga-tiga pemain itu menandatangani kontrak setahun bersama T-Team, hari ini, disaksikan pengurus pasukan, Datuk Mohamad Kamil Othman.

“Kehadiran mereka akan lebih memperkemaskan pasukan ini kerana ketiga-tiganya adalah pemain berkualiti dan bebas daripada kecederaan.

“Saya pasti semua pihak pasti gembira, terutama dengan kepulangan semula Asrol,” kata Mohamad Kamil.