Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mengakui pasukannya perlu mempamerkan aksi terbaik untuk berdepan pasukan di tangga ketiga, Kedah, dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

Sambil menyifatkan Kedah sebagai salah satu pasukan terbaik negara, Rahmad berharap pemain-pemainnya berupaya mengekang pergerakan pemain pasukan lawan.

Katanya lagi, pasukan lawan dibarisi ramai pemain kebangsaan dan pemain import yang berkualiti selain memuji falsafah bola sepak yang dibawa oleh jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Mereka gemar bermain dengan hantaran pendek dan kami perlu berhati-hati dengan pemain pasukan lawan seperti Syazwan (Zainon), Liridon (Krasniqi) dan Baddrol (Bakhtiar).

“Pemain-pemain perlu berdisiplin serta fokus ketika bertukar daripada gerakan menyerang kepada bertahan dan sebaliknya kerana Kedah sukar untuk ditewaskan,” katanya.

Ketua jurulatih dari Indonesia itu juga mahu pasukannya mengulangi rentak sewaktu aksi bertemu Perak minggu lalu sekiranya berhajat memungut tiga mata penuh di halaman sendiri.

Apa yang penting ujarnya, pemain-pemain harus beraksi mengikut perancangan serta bermain dengan semangat yang tinggi dan kemenangan akan berpihak kepada mereka.

“Penyerang utama, Farhod Tadjiyev, masih belum pasti boleh diturunkan dan akan ada sedikit perubahan dalam kesebelasan utama, bergantung kepada keadaannya.

“Saya harap dia (Farhod) dapat beraksi,” tambah Rahmad lagi.