Syihan Hazmi tidak mahu peminat terlalu mengagungkan dirinya biarpun beraksi cemerlang sebagai penjaga gol nombor satu negara sepanjang dua perlawanan Kejohanan Bola Sepak king's Cup di Chiang Mai baru-baru ini.

Menjelang saingan Piala AFF hujung tahun ini, Syihan hanya dibolosi satu gol -- ketika terikat 1-1 dengan tuan rumah, Thailand -- sepanjang dua perlawanan itu, sekali gus memberikan bayangan bahawa dia akan terus menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Bagaimanapun, penjaga gol Negeri Sembilan itu enggan terbawa-bawa dengan pujian penyokong Harimau Malaya.

"Alhamdulillah, Syukur, apa yang saya boleh cakap, pujian itu tidak perlu sangat kerana saya apa yang saya perlukan adalah doa yang baik-baik," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Doa yang baik-baik untuk diri saya dan untuk pasukan kebangsaan.

"Pujian itu saya ambil untuk membakar semangat saya dan untuk terus maju, untuk memperbaiki kekurangan dan menjadi lebih baik," katanya.

Dengan aksi cemerlangnya, banyak pasukan gergasi tanah air sudah mula mengimpikan untuk mendapatkan khidmatnya dan mengulas mengenai perkara itu, Syihan menambah: "Buat masa ini, saya hanya fokus kepada pasukan saya, iaitu Negeri Sembilan.

"Saya masih dengan Negeri Sembilan cuma keputusan lain masih belum ada.

"Perkara itu saya tidak pasti kerana ia diuruskan oleh ejen saya," katanya lagi.