Pertahanan PKNP FC, Syazwan Zaipol Bahari, mengharapkan kerjasama sepasukan yang lebih ampuh bagi mengekang asakan Felda United apabila kedua-dua pasukan berentap dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Syazwan, yang juga pertahanan skuad bawah 22 tahun negara, akan menggalas tugas selaku tonggak benteng PKNP.

Ini susulan tonggak pertahanan, Raffi Nagoorgani, terpaksa diketepikan selepas ditimpa kecederaan ketika bertemu Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Syazwan mengakui aksi sukar menanti pasukannya di Jengka, namun optimis PKNP mampu menghadirkan tentangan sengit.

"Kami ada perancangan sendiri mengikut arahan jurulatih. Kami akan bertahan dan menyerang sebagai satu pasukan," ujarnya.

Pemain berusia 22 tahun ini percaya pengalaman beraksi dalam kempen Kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 tahun di Bangkok dan Sukan SEA Kuala Lumpur bersama skuad muda negara, turut mampu membantunya tampil ampuh.

"Alhamdulilah, pengalaman itu akan membantu saya dan secara tidak langsung membantu pasukan untuk melangkah lebih jauh," tambahnya.