Kejayaan menumpaskan Turkmenistan 3-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 telah mengubat luka hati peminat bola sepak Malaysia selama ini.

Harimau Malaya menyajikan permainan yang berkualiti tinggi dari awal permainan apabila menampakkan keinginan yang tinggi untuk memburu kemenangan oleh pemain-pemain Harimau Malaya.

Ia membuktikan bahawa mereka begitu komited dengan tugasan yang diberikan, ini satu tanda positif yang berjaya dibawa Kim Pan-gon dalam skuad Malaysia kali ini serta menampakkan keharmonian dalam kalangan pemain.

Lebih mengujakan penulis apabila sikap serta sifat cintakan Malaysia itu terpancar dari raut wajah semua pemain-pemain negara.

Komitmen yang dicurahkan tanpa berbelah bahagi dengan mutu permainan setiap pemain-pemain amat membanggakan, ia boleh dilihat dalam setiap penglibatan pemain-pemain ketika ada mahupun tanpa bola terutama ketika menghalang gerakan lawan.

Kerjasama berpasukan serta disiplin yang tinggi juga banyak memainkan peranan ke atas Turkmenistan.




Selain daripada elemen yang dinyatakan tadi, penulis juga tertarik dengan peranan yang dimainkan Syamer Kutty Abba sebagai pemain tengah bertahan yang banyak membantu kejayaan Harimau Malaya.

Syamer ibarat kereta kebal yang sentiasa mematikan gerakkan lawan dengan halangan-halangan kerasnya dan dia juga bijak dalam membaca permainan lawan selain menyusun atur tempo permainan bersama Nor Azam Azih.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berada pada masa yang tepat untuk menerima hantaran dan menghalang gerakan lawan. Dengan ketahanan fizikal dan mental dimilikinya, ia mendorongnya untuk sentiasa berlari bagi meletakkan dirinya berada di posisi yang membolehkannya cepat untuk membuat keputusan.

Bukan itu sahaja karakternya seperti seorang jeneral padang juga banyak membantu pemain-pemain untuk terus fokus dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Sentiasa berkomunikasi dan memberi kata-kata semangat kepada rakan serta tidak gentar dengan provokasi yang dilakukan lawan. Inilah sikap yang dimahukan penulis sebagaimana yang dimainkan Ahmad Yusoff, Radhi Mat Din dan Malek Rahman pada era masing-masing suatu ketika dulu yang banyak membantu kejayaan skuad kebangsaan.

Sekiranya pemain-pemain negara terus menggekalkan komitmen dan keamatan mereka dalam pertemuan dengan Bahrain Sabtu ini, tidak mustahil Harimau Malaya boleh membaham lagi.