Penyerang skuad bawah 22 tahun negara, Syafiq Ahmad, mengakui kini sudah serasi dengan pendekatan formasi 4-3-3 atau 3-4-3 yang digunakan pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

Baginya, formasi yang digunakan Kim Swee memudahkan kelancaran jentera serangan dan bahagian tengah ketika melancarkan serangan.

Syafiq, bersama dengan S. Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew merupakan antara pemain penyerang yang dijangka menjadi sandaran Kim Swee di Kelayakan AFC Bawah 23 tahun dan Sukan SEA, Julai dan Ogos depan.

"Kalau ikutkan taktikal ini lebih memudahkan kami. Kerana ia membuatkan bahagian tengah dan penyerang memiliki lebih ramai pemain dan pada masa sama membuat kami berada lebih dekat dengan bahagian pihak lawan," jelas Syafiq.

Syafiq turut mengakui saingan Kelayakan AFC dan Sukan SEA adalah penting baginya.

Pemain dari Kedah ini tekad mara ke pusingan akhir AFC Bawah 23 tahun dan juga, meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Bagi saya kedua-duanya penting, kerana kelayakan AFC untuk Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun tahun hadapan jadi sekiranya kami beraksi baik dalam kelayakan ia akan menjadi penanda aras untuk ke Sukan SEA Kuala Lumpur nanti," tambahnya.