'Bagai sirih pulang ke gagang', itu situasi yang boleh digambarkan buat penyerang skuad kebangsaan Syafiq Ahmad susulan bakal kembali ke bumi Kedah Darul Aman selepas kali terakhir menyarung jersi Kedah pada 2017.

Kehadiran Syafiq ke dalam Kedah bakal mampu memberi kekuatan baharu dalam corak serangan skuad Hijau Kuning bagi menempuhi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan.

"Selepas empat tahun, saya kembali bersama Kedah secara pinjaman sepanjang semusim dan berharap dapat berbakti kepada pasukan," kata Syafiq.

"Faktor utama adalah memilih Kedah kerana dapat bersama keluarga.

"Saya akan bermula daripada bawah bagi mendapatkan prestasi terbaik bagi membantu pasukan dan juga diri sendiri. Ternyata ia amat sukar namun dengan peluang beraksi sebelum ini membantu saya untuk membuat persiapan bagi musim hadapan.

"Jurulatih Aidil seorang yang sangat berani menurunkan pemain muda dan itu merupakan salah satu sebab saya ingin kembali ke Kedah. Saya akan memberikan jaminan adalah bermain dengan terbaik bagi memastikan kemenangan kepada pasukan."

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas kesudian baginda membenarkan pinjaman Syafiq kepada Kedah.

Khamal turut optimis Syafiq mampu menjadi nilai tambah yang baik buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak musim depan.

"Pengalaman selama empat musim yang ditimba Syafiq bersama skuad JDT sejak 2018 menjadi elemen penting yang boleh dimanfaatkan seterusnya bagi meningkatkan prestasi skuad Kedah secara amnya.

"Sentuhan ketajamannya menghasilkan gol ketika beraksi bersama JDT dan Harimau Malaya juga bakal memperkuatkan lagi barisan serangan baharu untuk Kedah yang menghadapi cabaran lebih besar pada musim depan." katanya.