Pertahanan, Michael Lang, menegaskan skuad Switzerland kini lebih bersatu menjelang aksi penting berdepan Costa Rica di Nizhny Novgorod bagi mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia.

Kemenangan ke atas anak buah Vladimir Petkovic itu akan memberikan jaminan slot pusingan 16 manakala seri sudah memadai jika Serbia tidak menewaskan pendahulu Kumpulan E, Brazil.

Switzerland kini di tangga kedua selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Serbia di Kaliningrad -- penjaring gol, Xherdan Shaqiri dan Granit Xhaka, bagaimanapun, berdepan tindakan disiplin FIFA selepas meraikan kemenangan secara keterlaluan.

Pertahanan Basel, Lang, menyifatkan kemenangan tersebut memberikan kesatuan yang lebih utuh di antara pemain-pemain dalam usaha untuk memastikan mara ke peringkat kalah mati.

"Semangat pasukan kami semakin meningkat," katanya.

"Kami berdiri sebagai satu pasukan. Kami yakin mampu pergi jauh dalam Piala Dunia."

Bagi Costa Rica, pertembungan ini akan menjadi peluang untuk memberikan kebanggaan kepada negara mereka selepas mengalami kekalahan kepada Brazil dan Serbia yang menyaksikan tiada peluang untuk mereka ke pusingan seterusnya.

Pemain veteran, Johnny Acosta, berharap untuk melakukannya dan yakin pasukan masih lagi bersemangat untuk turun beraksi dan memberikan persembahan yang menarik kepada penyokong yang hadir ke Russia.

"Ia merupakan perlawanan yang perlu dihadapi, kami akan cuba mendapatkan keputusan yang positif," kata Acosta.

Pemain tumpuan

Switzerland –- Haris Seferovic


Penyerang Benfica, Seferovic, bukan seorang penyerang berbisa tetapi dia memberikan persembahan yang mantap dan membantu pasukannya dalam semua situasi. Dia turut membuka ruang kepada Shaqiri melancarkan serangan.

Costa Rica –- Cristian Gamboa

Mengawal pergerakan Neymar sepanjang permainan ketika mengalami kekalahan 2-0 kepada Brazil, Gamboa perlu memerhati pergerakan bek kiri Switzerland yang dijangka mampu memberikan ancaman utama.