IRELAND UTARA 0 SWITZERLAND 1

Skuad bimbingan Vladimir Petkovic, Switzerland, berjaya mencuri kelebihan walaupun bermain di tempat lawan apabila menundukkan Ireland Utara 1-0 dalam perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia 2018 zon Eropah, awal pagi tadi.


Beraksi di Windsor Park, Switzerland hampir mengejutkan tuan rumah seawal minit kesembila, apabila pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka, melepaskan rembatan kencang yang bagaimanapun sedikit tersasar.

Tiga minit kemudian, giliran Ireland cuba mendapatkan gol awal menerusi penyerang, Kyle Lafferty, tetapi usahanya menerusi sepakan voli sekadar melewati palang gol.

Selepas kedudukan kekal tanpa jaringan dalam babak pertama, kedua-dua pasukan cuba menggandakan asakan sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung.

Penyerang Switzerland, Haris Seferovic, hanya terlewat beberapa saat untuk memecah kebuntuan pada minit ke-58 selepas menerima hantaran lintang Steven Zuber dari sebelah kiri tatkala penjaga gol tuan rumah, Michael McGovern, telah tertewas.

Gol yang dicari-cari akhirnya tiba lima minit kemudian selepas Corry Evans didakwa menahan bola percubaan Xherdan Shaqiri dengan tangan di dalam kotak penalti.

Pertahanan AC Milan, Ricardo Rodriguez, tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk memberikan pendahuluan buat pelawat.

Ireland cuba mencari gol penyamaan, namun Switzerland lebih kental bertahan, membolehkan pelawat membawa bekalan satu gol ke laman sendiri menjelang aksi kedua pada Isnin ini.