Setiu memenangi ibu segala pingat selepas mengatasi Kuala Nerus 1-0 bagi meraih pingat emas acara bola sepak dalam kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA), petang tadi.

Jaringan tunggal penyerang, Nik Haqimy Muaz Nik Mat, pada minit ke-10 memadai untuk Setiu menebus kekalahan 1-5 kepada lawan sama di peringkat kumpulan.

Jurulatihnya, Shahrizan Che Abdul Rani, berkata pencapaian pingat emas merupakan satu keputusan yang tidak dijangka, mengambil kira sasaran awal hanya ke separuh akhir.

"Persiapan lebih sebulan pasukan Setiu telah membuahkan hasil dan ada sehingga tiga pemain muda yang boleh diketengahkan.

"Separuh daripada barisan pemain baru kali pertama menyertai kejohanan seperti ini. Jadi, kejayaan ini memberi kepuasan kepada kami," ujarnya.

Sebanyak lapan pasukan daerah mengambil bahagian sepanjang lima hari kejohanan itu dengan pingat gangsa dimenangi Dungun yang menang 2-0 ke atas Hulu Terengganu.

Sementara itu, Hulu Terengganu tidak pulang tangan kosong apabila anugerah penjaring terbanyak dengan tujuh gol disandang pemainnya, Syafie Abdul Rahman.

Majlis penyampaian pingat disempurnakan Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, di Kompleks Sukan Gong Badak, petang tadi.