Carlo Ancelotti menegaskan Real Madrid bukan pasukan pilihan untuk menewaskan Barcelona dalam aksi Supercopa de Espana dan bimbang jika pemainnya berfikir sedemikian.

Aksi Clasico awal pagi esok di Riyadh akan menentukan siapa yang akan menentang sama ada Athletic Bilbao atau Atletico Madrid dalam perlawanan akhir Supercopa pada hari Ahad.

Real menang 2-1 di Camp Nou dalam pertemuan sebelumnya bagi aksi LaLiga pada Oktober, dan jurang antara kedua-dua pasukan semakin melebar sejak itu.

Los Blancos menduduki tangga teratas liga selepas 21 perlawanan, dengan Barca di tempat keenam, 17 mata di belakang pesaing hebat mereka.

Ancelotti, bagaimanapun, berpendapat bahawa kedudukan semasa memberikan kelebihan sedikit buat mereka ketika slot ke final jadi rebutan.

"Saya akan bimbang jika pemain menganggap kami adalah pilihan, tetapi mereka tidak fikir begitu. Mereka fikir kami perlu melakukan segala-galanya untuk menang," kata jurulatih Real itu semalam.

"Pertembungan ini sentiasa seimbang, bagaimanapun banyak jurang yang terdapat dalam kedudukan liga, saingan tetap seimbang.

"Apabila anda bermain, anda boleh, seri atau kalah. Perlawanan itu akan menentukan pemenang. Kami perlu bermain di tahap terbaik. Kami akan berdepan lawan yang kuat dan memiliki objekti sama, untuk mara ke final."