ATLETICO 1 ATHLETIC BILBAO 2

Diego Simeone percaya Atletico Madrid akan terhalang daripada mencapai aspirasi mereka musim ini sekiranya gagal menangani ancaman di udara.


Atleti mendahului sebelum tewas 1-2 kepada Athletic Bilbao dalam separuh akhir Supercopa de Espana di Arab Saudi, awal pagi tadi.

Juara LaLiga itu dilihat sudah bersedia untuk menentang seteru sekota, Real Madrid, dalam perlawanan akhir di Stadium King Fahd, Isnin depan, selepas jaringan sendiri Unai Simon meletakkan mereka di depan sejurus sejam permainan.

Begitupun, penyandang juara itu melancarkan asakan hebat di Riyadh yang menyaksikan Yeray Alvarez menanduk masuk tendangan sudut daripada Iker Muniain selepas 77 minit perlawanan.

Pemain gantian remaja, Nico Williams, memuktamadkan kemaraan Athletic ketika aksi menuju sembilan minit masa kecederaan dengan sentuhan klinikal kaki kirinya di dalam kotak penalti selepas pasukan Simeone itu gagal mengekang satu lagi sepakan sudut.

Perlawanan itu turut dicemari kad merah Jose Gimenez ekoran terjahan berbahayanya ke atas Inigo Martinez sekali gus menambah derita Atleti.

Sungguhpun masih ada unsur-unsur yang mampu menggembirakan Simeone, tetapi dia memberi amaran kepada barisannya bahawa mereka tidak mungkin mampu mencabar trofi melainkan mereka dapat menyelesaikan masalah di udara.

"Ada perkara yang tidak boleh diselindung. Pasukan ini tidak mempunyai kekuatan pertahanan di udara dan ia bakal menghalang kami daripada mempunyai permainan dan peluang yang lebih baik untuk berada di tahap lebih tinggi LaLiga selain kekal dalam pertandingan ini," kata pengurus berbangsa Argentina itu.




"Ini bukan masa untuk bercakap banyak. Segala-galanya kelihatan lebih teruk dengan keputusan ini tetapi masih ada perkara yang positif. Joao (Felix) beraksi dengan baik, (Angel) Correa bekerja keras, (Rodrigo) De Paul mempamerkan prestasi yang baik sebaik dimasukkan.

"(Mario) Hermoso pula beraksi dengan sangat bagus, Marcos (Llorente) dapat mengharungi permainan selama 45 minit biarpun menanggung derita di bahagian pinggulnya. Kami perlu tingkatkan latihan, setiap hari dan menikmati hasilnya daripada usaha itu."

Ditanya sama ada pasukannya akhirnya mencapai tahap sebenar, dia menjawab: "Ia lebih kepada pendapat daripada soalan.

"Kami percaya dengan usaha yang kami lakukan. Kami cuba untuk bertambah baik. Sejak menentang Rayo Vallecano (kemenangan 2-0 pada awal tahun baru), saya fikir kami telah meningkatkan prestasi tetapi kami masih perlu memperbaiki sesuatu yang sangat jelas. Ia membuatkan kami kehilangan mata, menjejaskan kedudukan liga dan menghalang kami ke final. Terpulang kepada kami untuk memperbaikinya dan meningkatkan tahap agresif di kawasan sendiri."

Llorente memulakan permainan sebagai bek sayap kanan sebelum digantikan oleh Renan Lodi selepas rehat, tetapi kedua-duanya hanya mencipta satu hantaran silang daripada permainan terbuka sepanjang perlawanan awal pagi tadi.

Ia mendedahkan kebimbangan Simeone mengenai situasi itu berikutan penjualan Kieran Trippier kepada Newcastle United.

Walaupun gembira dengan pilihan yang ada dengan Sime Vrsaljko masih mampu menggalas peranan itu, Simeone mengakui kelab berkenaan sedang meneroka pilihan dalam pasaran perpindahan.

"Kami mempunyai Vrsaljko sebagai penggantinya. Dia boleh beraksi di posisi itu. Kelab sedang mengusahakan sesuatu demi kebaikan kelab dan pasukan ini," katanya.