Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata dia 'sangat teruja' membawa Los Blancos ke satu lagi final menjelang pertembungan Supercopa de Espana bertemu Athletic Bilbao di Arab Saudi.

Pendahulu LaLiga itu mara selepas menang 3-2 menentang Barcelona sebelum ini, dengan pemain gantian Federico Valverde memastikan kemenangan dalam masa tambahan.

Athletic mengatasi Atletico Madrid 2-1 dalam satu lagi separuh akhir, dan Ancelotti telah mengakui dia perlu mengubah taktiknya untuk bertemu anak buah Marcelino awal pagi esok.

"Saya sangat gembira buat masa ini, saya sangat teruja," katanya kepada dalam sidang media.

"Kembali ke final sekali lagi adalah istimewa dan lebih-lebih lagi apabila ketika menerajui Real Madrid. Pasukan ini sudah biasa dengan jenis perlawanan ini dan detik-detik ini."

Kedua-dua pasukan bermain antara satu sama lain dua kali Disember lalu dalam saingan LaLiga, dengan Real muncul sebagai pemenang bagi kedua-dua perlawanan, 1-0 di Bernabeu dan 2-1 di San Mames.

“Kami perlu menganalisis corak permainan lawan,” tambah Ancelotti. "Kami mengenali satu sama lain dengan baik kerana kami telah bermain dua kali dalam sebulan, sekali di Madrid dan sekali di Bilbao. Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, sama seperti yang lain.

"Athletic mempunyai pelbagai sifat, termasuk pertahanan yang mantap, organisasi, rentak ketika melancarkan serangan, kualiti situasi bola mata, kami harus ingat itu. Pendekatan kami akan berbeza kerana Athletic mempunyai ciri berbeza dengan Barcelona."