Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, memberi peringatan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa kekuatan Harimau Malaya bukan hanya pada dirinya, malah turut bersandarkan kepada pemain lain menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam esok.

Kelibat Sumareh mencuri tumpuan selepas muncul wira dengan dua gol skuad Malaysia dalam perlawanan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis lalu.

Pemain sayap kelahiran Gambia itu menghasilkan gol kemenangan pada penghujung permainan untuk memastikan permulaan sempurna skuad negara dalam kempen kelayakan kali ini.

Berdasarkan persembahan cemerlang itu, Sumareh pastinya dikawal ketat oleh barisan pertahanan UAE ketika sentuhannya terus ditagih untuk merobek gawang lawan.

"Saya bukan satu-satunya pemain dalam pasukan. Jika saya tidak beraksi, Malaysia masih lagi dibarisi pemain berbisa seperti Safawi (Rasid) dan Norshahrul (Idlan Talaha). Setiap pemain memiliki hari terbaik dan ketika bertemu Indonesia, saya berjaya beraksi cemerlang dan menyumbat dua gol," katanya.

Sumareh yang akan genap 26 tahun, 20 September ini, dijangka membarisi kesebelasan utama berdepan UAE selepas bermula di bangku simpanan ketika berdepan skuad Garuda.

Tonggak Pahang itu bakal menggalas tugas di posisi sayap kanan dan membentuk trio serangan bersama Norshahrul Idlan dan Safawi untuk ujian getir di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Beraksi di laman sendiri, ia adalah kelebihan buat Malaysia. Kami akan menggunakan kemenangan ke atas Indonesia sebagai pembakar semangat, berjuang sehingga wisel penamat ditiupkan."