Misteri kehilangan Mohamadou Sumareh akhirnya terungkai apabila pemain naturalisasi negara itu difahamkan akan menyertai kelab Thailand, Police Tero FC, dengan tawaran gaji lumayan.

Perkhabaran terbaru itu, sekali gus menafikan perpindahannya bersama pasukan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Status Sumareh menjadi perbualan hangat warga bola sepak tanah air selepas pemain kelahiran Gambia itu dikhabarkan sudah menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Berdasarkan klausa 8.7 yang terkandung dalam kontrak pemain, memperuntukkan kontrak seseorang pemain itu boleh ditamatkan tanpa sebarang kesan, sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan sukan, sekiranya pemain tidak menerima gaji mereka lebih daripada sekali.

ETF sources has confirmed that Mohamadou Sumareh will become Police Tero’s new signing ✍? Official announcement expected soon! ? #EVERYTHINGTHAIFOOTBALL

Posted by Everything Thai Football on Monday, 31 August 2020


Sumareh ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkara itu ketika ini kerana saya sudah cukup dibenci. Saya tidak mahu berkata apa-apa," katanya.

Bagaimanapun, selepas dipujuk, bekas pemain sayap Pahang itu akhirnya membuka mulut mengenai statusnya ketika ini.

"Selepas semua yang berlaku ini, saya tidak mahu memberikan komen.

"Bagi menghormati Pahang, saya tidak mahu berkata apa-apa. Saya hanya akan bercakap apabila waktunya telah tiba.

"Bagi menghormati bekas pasukan saya, tiada apa untuk saya bicarakan.

"Sesetengah penyokong masih amat baik dengan saya. Mereka memberikan sokongan kepada saya dengan mesej-mesej yang amat baik dan amat memahami.

"Sesetengah yang lain membenci saya dengan komen-komen yang amat buruk.

"Tetapi itulah hidup, bukan semuanya berpihak kepada anda.

"Adakalanya anda melalui waktu yang indah dan adakalanya waktu yang buruk.

"Saya kira ini adalah waktu yang buruk buat saya.

"Insya-Allah segalanya akan pulih tidak lama lagi.

"Buat masa ini, saya hanya mahukan perkara ini reda dan saya mahu fokus kepada diri saya.

"Saya mahu bersama keluarga saya dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku," katanya lagi.

Ikuti pendedahan eksklusif itu dalam Nadi Arena jam 7.30 malam ini.