Niklas Sule telah memulakan latihan dengan bola tatkala pertahanan Bayern Munich itu meneruskan proses pemulihan susulan kecederaan lutut.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak beraksi sejak Oktober lalu akibat kecederaan lutut dan di peringkat awal, dia tampak bakal terlepas baki saingan domestik serta Euro 2020.

Disember lalu, Sule mendakwa proses pemulihannya berlaku lebih pantas dan dia berikrar mahu kembali ke tahap kecergasan terbaik untuk memastikan tempat dalam skuad kebangsaan Jerman kendalian Joachim Low ke Euro 2020.

Semalam, bek tengah itu menegaskan dia rasa teruja dan gembira untuk kembali ke padang di kem latihan Bayern, Sabener Strasse, walaupun cuaca sejuk.

"Selepas lebih daripada empat bulan, bagus untuk kembali bermain dengan bola. Ia sangat hebat," katanya.

"Salji atau petir mungkin turun hari ini tetapi saya tidak peduli. Saya gembira dapat berlatih semula dengan bola dan melalui proses pemulihan yang seterusnya.

"Setakat ini, saya tidak berdepan masalah. Saya telah melakukan banyak pergerakan kawalan bola dan minggu depan, kami akan beralih kepada sasaran bola."


Bayern juga menerima suntikan semangat apabila Javi Martinez dan Lucas Hernandez mempamerkan usaha berlipat ganda walaupun diberikan cuti.

Martinez kembali bersama skuad sewaktu menewaskan Hoffenheim 6-0 di tempat lawan, hujung minggu lalu, selepas diketepikan sejak Disember lalu akibat kecederaan paha sambil Hernandez bergelut dengan masalah di bahagian lutut.

Bayern berharap kedua-dua pertahanan itu dapat diturunkan dalam pertemuan dengan Augsburg, Ahad ini.

Kingsley Coman -- yang mengalami kekejangan otot ketika menewaskan Chelsea 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah -- turut berharap dapat diturunkan dalam aksi hujung minggu ini selepas menyambung lariannya.

Bayern yang kini tiga mata mengungguli carta Bundesliga akan ke Union Berlin pada 14 Mac depan sebelum aksi kedua Liga Juara-Juara di laman sendiri, empat hari kemudian.

Mereka kemudian akan melayan kunjungan Eintracht Frankfurt sebelum tempoh rehat antarabangsa.