Kelantan melalui mimpi ngeri apabila dibelasah 4-0 oleh Selangor dalam aksi pembukaan Kumpulan D acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIX di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, malam tadi.

Ketua jurulatih, Sazami Shafi’i, menjelaskan terkejut dengan keputusan itu dan mengakui segala perancangan yang dilakukan gagal diterjemahkan pemain di atas padang.

“Perlawanan agak seimbang dalam 35 minit separuh masa pertama. Malangnya, dua kesilapan mudah dilakukan pertahanan menyebabkan kami ketinggalan dua gol tanpa balas.

"Dalam babak kedua, kita cuba mengubah taktikal kepada 4-4-2 dan semuanya berjalan lancar sehingga Selangor mendapat gol ketiga melalui sepakan penjuru," katanya.

Sazami, yang juga bekas ketua jurulatih skuad Piala Belia Kelantan, berharap anak buahnya melupakan kekalahan ini dan bangkit mencari kemenangan bertemu pasukan pilihan, Kedah, petang esok.

“Lupakan kekalahan ini dan saya harap pemain kembali fokus untuk memberikan aksi terbaik menentang skuad Hijau Kuning.

"Kami sedar Kelantan perlu bangkit segera memburu kemenangan ke atas Kedah untuk mencerahkan semula peluang ke suku akhir," katanya.

Ditanya rombakan yang bakal dilakukan selepas mengalami kekalahan dalam aksi pertama, Sazami mahu mengekalkan formasi 4-4-2 dengan membawa masuk tenaga baru bagi menyuntik kembali semangat pemain.

"Saya akan kekalkan formasi 4-4-2 (yang digunakan dalam separuh masa kedua) dan membawa masuk pemain baru (simpanan) untuk beri suntikan semangat dalam skuad ini."


Keputusan Kumpulan D

Kedah 3 Pahang 0
Selangor 4 Kelantan 0