Raphael Varane mengakui bekas pengendali, Zinedine Zidane, sukar untuk digantikan dan ia memerlukan perwatakan yang kuat untuk membimbing Real Madrid musim depan.

Zidane melakukan kejutan meninggalkan Santiago Bernabeu selepas dua setengah tahun mengemudi Real merangkul gelaran Liga Juara-Juara (UCL) tiga kali dan sembilan gelaran secara keseluruhan.

Pertahanan kebangsaan Perancis, Varane, yang membuat 40 penampilan bersama Real bagi musim 2017-18, menyedari sukar untuk mencari pengganti Zidane ketika kelab itu sedang dikaitkan dengan pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino dan Massimiliano Allegri (Juventus).

"Jurulatih baru perlu berupaya mengembangkan lagi Real dan ia adalah satu tugas yang sukar dengan tekanan dan harapan yang telah diletakkan kepada pasukan," kata Varane.

"Zidane melakukan sesuatu yang sukar untuk diulangi. Apa yang telah dilakukannya adalah luar biasa.

"Kami tidak akan meminta jurulatih baru untuk memenangi banyak gelaran dalam tempoh yang singkat. Tetapi beliau perlu menyesuaikan diri dengan Real.

"Terdapat beberapa jurulatih yang berkualiti di Eropah -- siapa yang bakal dilantik perlu memiliki perwatakan yang terbaik untuk menerima cabaran ini," ujarnya.

Varane sedang membuat persiapan bersama Perancis ke Piala Dunia selepas diundi bersmaa Australia, Denmark dan Peru dalam Kumpulan C.