Perlawanan bertemu Terengganu dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok, pastinya menjadi satu lagi ujian sukar buat pengendali Sabah, Jelius Ating.

Bagaimanapun, bekas pemain berusia 46 tahun itu bertekad akan melakukan yang terbaik bagi mencatat keputusan positif walaupun bertemu dengan pasukan yang kini berada di tangga kedua liga.

Skuad Penyu kini berada di belakang pendahulu liga, Negeri Sembilan, dan perlawanan itu pastinya sukar bagi Jelius, lebih-lebih lagi mereka bermain di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan dijangka disaksikan ribuan penyokong tuan rumah.

"Pastinya satu lagi perlawanan yang sukar, namun, jika kami ke sana (Terengganu) dengan sasaran mencuri satu mata, ia bukan sesuatu yang baik kerana kami berada di kedudukan bahaya dalam liga.

"Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan itu, sekali gus membawa pulang tiga mata serta memperbaiki kedudukan kami," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berharap anak buahnya akan meningkatkan corak permainan mereka sehingga memperoleh kemenangan.

Katanya, walaupun ramai berpendapat corak permainan Sang Badak kini semakin baik berbanding sebelum ini, ia bukanlah satu jaminan untuk mendapat kemenangan.

"Jika kami bermain dengan baik tetapi tidak menang, ia tidak betul juga... Saya mahu pemain meningkatkan lagi persembahan sehingga mendapat keputusan yang lebih positif."

Jelius yang mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih daripada Steve Vilmiaire, beberapa minggu lalu, berkata beliau akan mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utamanya ketika bertemu Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, baru-baru ini.

"Kami juga akan mendapat semula khidmat pemain pertahanan yang juga ketua pasukan, Rawilson Batuil, dalam perlawanan esok dan dia akan berada dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Saliun Mastar yang mengalami kecederaan.

"Rawilson akan digandingkan semula dengan Igor Cerina di bahagian pertahanan tengah manakala Dendy Lowa yang sebelum ini beraksi di posisi itu akan bermain di bahagian pertahanan kanan," katanya.

Jelius yang kini dibantu seorang lagi bekas pemain, Burhan Ajui, dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai benteng terakhir pasukannya untuk perlawanan itu sambil dibantu barisan pertahanan, iaitu Cerina, Rawilson, Dendy serta Jenius Karib.

Sementara itu, dua pemain import, Masaya Jitzono dan Sofiane Choubani, akan menjadi penggerak di bahagian tengah bersama-sama Azzizan Nordin, Leopold Alfonso Otong serta Sabri Sahar.

Penyerang import dari Perancis, Jonathan Behe, pula sekali lagi dijangka menjadi sandaran Sang Badak untuk memburu jaringan.