Misi jaguh lompat kijang negara, Hakimi Ismail, untuk mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut dalam Sukan SEA Vietnam, Mei tahun depan hampir pasti akan terkubur.

Ia berikutan pembedahan tumit yaang baru dijalaninya, sekali gus terpaksa bersehat sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Atlet kelahiran Perak itu sedang menjalani rawatan susulan di Institut Sukan Negara (ISN) dan dinasihatkan untuk fokus kepada Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou, masing-masing pada Julai dan September tahun depan.

"Saya sudah mengalami kecederaan ini hampir empat tahun dan ia sebenarnya mengganggu latihan dan penyertaan saya dalam kejohanan," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya harap pembedahan ini dapat menyelesaikan segala masalah berkenaan dan saya akan mendapatkan keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

"Cuma, apa yang penting adalah masa yang saya ada untuk mempersiapkan diri sebelum menyertai kejohanan.

"Saya harap dapat kembali dengan prestasi yang lebih baik berbanding sebelum ini.

"Dengan keadaan seperti ini, saya juga tidak pasti bagaimana keadaan saya dalam empat hingga tujuh bulan selepas ini.

"Tetapi seandainya saya memilih untuk menyertai Sukan SEA, saya akan mencuba dan memberikan yang terbaik tanpa mengira warna pingat yang akan saya dapat," katanya.