Penjaga gol skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Ahmad Syihan Hazmi, dipercayai patah tangan kanan, sekaligus menjadi antara empat pemain yang digugurkan untuk kunjungan ke China dan
bakal terlepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.


Malang menimpa penjaga gol dari Kelantan ini apabila mengalami kecederaan serius kurang tiga bulan sebelum Sukan SEA.

Insiden berlaku ketika perlawanan persahabatan menentang Felda United semalam apabila berlaku pelanggaran dengan pemain import lawan.

Syihan ketika ditemui hari ini jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya memandangkan ia kecederaan paling teruk pernah dialaminya.

"Rezeki ada di mana-mana, saya mahu menjalani proses pemulihan dengan baik untuk segera kembali beraksi," katanya.

Syihan dicanang sebagai penjaga gol nombor satu skuad B-22 tahun, diikuti Ifwat Akmal Che Kassim dan Haziq Nadzli.

Selain Syihan, tiga pemain lain yang turut digugurkan ialah Danial Ashraf Abdullah, Ariff Farhan Md Isa dan Raphi Azizan Mariappen juga ekoran kecederaan.

"Kehilangan Syihan sudah tentu memberikan impak tetapi kami memiliki tiga lagi penjaga gol dan saya akan berbincang dengan staf kejurulatihan untuk mendapatkan seorang lagi penjaga gol selepas pulang daripada latihan di China," kata pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee.