Pemain pertahanan skuad B-22 tahun negara, Syazwan Zaipol Bahari, sedia menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal yang akan diterapkan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee, menjelang saingan Kelayakan AFC B-23 dan Sukan SEA pada Julai serta Ogos depan.

Syazwan mengakui Kim Swee mempersiapkan pemain untuk bermain dengan formasi 4-3-3 atau 3-4-3 yang berbeza dengan pendekatan bekas pengendali, Frank Bernhardt, yang menggunakan formasi 4-2-3-1, sebelum ini.

Bagi tonggak PKNP FC itu, walaupun tidak biasa dengan taktikal baru ini, namun dia bersedia untuk mengadaptasi perancangan Kim Swee.

"Saya belum biasa lagi kerana di bawah kendalian jurulatih yang berbeza.

"Sebagai pemain, saya perlu cepat menyesuaikan diri dengan sistem yang diterapkan, saya perlu fokus.

"Jurulatih lebih cenderung kepada bertahan dan menyerang sebagai sebuah pasukan," katanya.

Ketiadaan Mohd Faris Shah yang baru beransur pulih daripada kecederaan lutut menyaksikan Syazwan bakal bergandingan dengan Adib Zainuddin selaku pertahanan tengah untuk siri aksi persahabatan di China, bulan ini.

Kim Swee turut berpuas hati dengan komitmen Syazwan bersama skuad B-22 negara setakat ini.

"Syazwan terbukti sebagai tonggak tetap B-22.

"Syazwan, Adib dan pemain Felda United, Ali Imran Alimi, merupakan pemain yang boleh diketengahkan.

"Terpulang, kalau mereka mampu bersaing dalam aksi di China nanti, kemungkinan besar mereka akan dikekalkan," kata pengendali negara itu.