Jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Asyraaf Fong Abdullah, menggesa anak buahnya bangkit untuk mencipta kemenangan ketika berdepan Singapura dalam perlawanan persahabatan malam esok sebagai mencipta motivasi menuju ke Sukan SEA Kuala Lumpur.

Bakal menanti kunjungan lawan di Stadium UiTM, Shah Alam, anak buah Asyraaf sudah melupakan kekalahan tipis 1-0 kepada India, tempoh hari.

Banyak pengajaran berguna buat barisan negara dan Asyraaf sudah membuat sedikit perubahan bagi menghadapi skuad Singapura dengan meletakkan sasaran untuk mencapai kemenangan.

Meskipun Malaysia pernah menewaskan Singapura 4-1, Februari lalu, namun Asyraaf tidak mahu terlalu mendabik dada kerana Singapura kini sudah berwajah baru.

"Sudah semestinya kami ingin menang supaya ia menjadi moral kepada kami sebelum sepak mula kempen Sukan SEA kami pada 15 Ogos nanti.

"Saya telah memaklumkan kepada pemain kalau boleh saya nak menang supaya kami mempunyai keyakinan dan kekuatan untuk menghadapi kejohanan sebenar nanti," katanya.

Singapura pula dalam motivasi yang lebih baik apabila baru sahaja mencatat kemenangan 3-0 ke atas Macau dalam aksi pemanas badan di Stadium Jalan Besar, semalam.

Dibimbing bekas pengendali Hougang United, K. Balagumaran, dia tetap menghormati Malaysia dan menganggap tuan rumah adalah pasukan yang lebih baik daripada Singapura.

"Malaysia masih sebuah pasukan yang hebat untuk kami tentang.

"Sebagai jurulatih, saya mahu melihat perkembangan pasukan sendiri sejak kali terakhir bertemu Malaysia," ujarnya.