Majlis Sukan Negara (MSN) tiada masalah untuk menghantar atlet muda ke Sukan SEA Vietnam, Mei tahun depan ketika status Sukan Malaysia (Sukma) Johor masih jadi persoalan.

Menerusi perkongsian bersama Bazly Azmi, Pengarah Bahagian Persediaan Atlet, Jefry Ngadirin, mendedahkan MSN memiliki 234 atlet program pelapis yang sedia untuk memberikan cabaran.

Program latihan atlet pelapis kebangsaan dijalankan secara berterusan di semua MSN seluruh negara sejak COVID-19 melanda, tahun lalu.

234 atlet pelapis tersebut berusia 21 tahun dan ke bawah -- tiada masalah untuk mewakili negara termasuk ke Sukan SEA Vietnam, selaras dengan arahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mahu juara Sukma bersaing di temasya itu.

"Atlet yang telah membuat persiapan sejak tahun lalu sepenuh masa, mereka telah menjalani beberapa fasa latihan tanpa menyertai kejohanan di pentas antarabangsa tetapi mereka masih lagi berada di tahap terbaik dan sedia untuk memberikan cabaran," kata Jefri.

"Terdapat 234 atlet di bawah usia 21 tahun dalam Program Podium, jadi saya berasakan tiada masalah jika untuk menghantar mereka ke Sukan SEA ditambah dengan pemenang pingat emas dalam saingan Sukma Johor."